Monday, September 1, 2008

Ramadhan Datang Lagi...

Pertama-tamanya marilah kita bersyukur kepada Allah swt kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan untuk yang ke sekian kalinya. Selawat dan Salam kepada Rasul Junjungan Muhammad saw, keluarga baginda, Sahabat-sahabat baginda seterusnya kepada semua ulama ulama dan pejuang-pejuang Islam yang menyampaikan dakwah sehingga kita mengenal erti kelebihan Ramadhan.
Ramadhan kali ini ana di takdirkan berada di tanah suci Makkah. Insyaallah peluang sebegini berharga tidak kami sekeluarga persiakan Insyaallah. Tahun lepas ana menyambut Ramadhan di tanah air (Malaysia Hadharah Islamiah) dan ketika Ramadhan hampir berlalu ana bertanya pada diri sendiri adakah Ramadhan ini merupakan Ramadhan terakhir buat diriku ini…. Pertanyaan yang tidak mempunyai jawapan kecuali Insyaallah semoga dipanjangkan umur agar bertemu ramadhan akan datang.

Manusia memenuhi setiap ruang di Masjidilharam

setiap kali Ramadhan menjelama

Kini fajar Ramadhan datang lagi, maka terjawablah persoalan yang ana tanya hampir setahun yang lepas. Alhamdulillah Ramadhan tahun ini ana sempat menemuinya lagi pada pengAwalannya. Soalan terus bermain difikiran ana adakah pertengahannya yang menjanjikan keampunan dan penghujungnya yang dikenali sebagai pembebasan dari api neraka sempat ana hirup udaranya? Sekali lagi jawapannya Insyaallah…
Itulah daifnya kita, setiap detik dan saat tidak seorang manusia pun yang boleh menjamin akan kehidupan di muka bumi yang fana ini, pintu kubur sangat dekat dengan kita semua maka sayugialah ana memperingatkan diri yang daif ini seterusnya sahabat-sahabat yang berkunjung ke laman ini untuk sama-sama mengambil peluang keemasan ini dengan semaksimum mungkin.

Malam tadi, ketika solat terawikh di Masjidilharam terasa sagu hati ini bila mengenangkan kesempatan yang diKurniakan ini. Bertambah sayu apabila 10 rakaat terakhir kedengaran suara Imam As-Sheikh Abdul Rahman As-Sudais yang telah lama tidak kedengaran. Ana amat merindui suara itu. Kunjungan ke Masjidilharam akhir-akhir ini terasa hambar bila tidak mendengar suara imam itu seolah-olah suara itu sudah sebati dengan Masjidilharam ini. Kini suara yang telah lama menghilang muncul semula bersama sinar Ramadhan. Agar suara itu terus berkumandang sepanjang Ramadhan ini. Aku merasakan sungguh bermakna Ramadhan ini.

Keadaan bertambah sesak apabila tiba 10 malam terakhir Ramadhan

Denyut nadimu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah lebih lagi bagi yang bertadarus, menyantuni anak yatim, mengeratkan silaturrahim, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua semuanya dijanjikan ganjaran di dalam bulan yang penuh berkat ini. Apa lagi bila membela golongan tertindas dan berusaha menghapuskan kezaliman sudah barang pasti melimpah ruah ganjarannya.

Tidak lupa untuk menjengah seketika ke dalam negara tercinta. Di sana dikhabarkan permulaan puasanya bersamaan tarikh permulaan puasa kita di saudi ini (Isnin 1 sept 08). Di pertengahan ramadhan nanti satu peristiwa besar mungkin akan berlaku di sana. Apakah malam sambutan Badar Al-Kubra nanti disambut dengan Laungan takbir dan pembesaran Allah dan Rasulnya setelah tumbangnya satu pemerintahan yang zalim? Apakah berulangnya kekalahan tentera Ahzab di bulan Ramadhan ini? Itu juga satu detik penantian yang sangat minat kita ikuti. Semuanya itu tidak musatahil kerana Tuhan yang menewaskan tentera ahzab ketika Badar Al-Kubra di zaman Rasulullah dulu, Tuhan itulah juga yang kita sembah hari dan ketika ini. Kita orang-orang yang beriman mestilah yakin dengan perkara ini. Sama-samalah kita berdoa agar semua kepungan dan tipu daya golongan yang zalim akan menikam ke lubuk jantung mereka sendiri. Aminnnn…

Hj Khuzz

No comments: