Sunday, December 28, 2008

PERJALANAN HAJI 1429
Siri I

Sejak lepas Hari Raya Idilfitri (Pertengahan Syawal) yang lepas Saudi Goverment telah berulang kali mengeluarkan Press Release. Isi kandungannya adalah "semua orang yang hendak mengerjakan Fardhu Haji pada tahun ini (1429) mestilah memiliki TASRIH HAJI (Permit Haji). Bukan sekali, bukan dua kali tetapi seingat ana sehingga 6 zulhijjah tidak kurang 5 press statement dari Govenor Makkah dan Menteri Hajj dikeluarkan dan memberi amran keras dan hukumannya kepada sesiapa yang ditangkap ketika mengerjakan haji tanpa TASRIH akan terus dihantar pulang dengan tidak ada rayuan lagi.

Berita ini sungguh menggemparkan. Bukan sahaja diri ana tetapi semua orang. Bila kita keluar ke tempat awam, akan ada kedengaran orang berbicara hal ini. Bila kita naik teksi, driver teksi yang dah hampir 10 tahun duk Makkah pun mempunyai trauma yang sama ngan ana. Kat ofis pun sama jugak, tetapi ada le jugak ada sorang dua yang nak terjah juga walau ape pun yang terjadi, tetapi itu belum cukup kuat utk diri ini mengambil pendirian yang sama. Bila berjumpa sahabat-sahabat dan kawan-kawan pun topik TASRIH Haji tidak boleh tidak mesti di bincangkan.

Oleh kerana berita begitu kuat menyatakan mesti ada 'TASRIH', ana cuba mencari jalan bagaimana untuk memohonya. Pada awal Zulkaedah ana dan Ust Hakim ke Pejabat Imigresen Makkah atas nasihat seorang sahabat dari imigresen Jeddah (Akhi Ali) supaya menemui sorang kawan beliau dan boleh bertanya mengenai permohonan itu. Tetapi agak mengecewakan apabila di imigresen sendiri takde arahan yang jelas mengenai ini. Sehinggakan pegawai disitu menyatakan "Kamu orang Makkah ape perlu TASRIH? Kamu nak buat pegi le buat dan doakan aku sekali bila di arafah nanti". Bila di tanya mengenai org luar maka diberilah sekeping borang disuruh isi. Maka kami pulanglah dengan hati yang tak puas. Fikiran masih buntu, kawan-kawan pula bila mengetahui ana ke imigresen maka makin ramai yang bertanya akan statusnya. Sekali lagi rasa tertekan untuk menjawabnya. Bila pulang ke rumah dengan borang tadi tu satu lagi penemuan syarat pada borang itu menyatakan borang itu hanyalah permohonan memasuki border Makkah untuk bekerja dan "DILARANG UNTUK MENGERJAKAN HAJI". Terus lemah semangat... Rupanya borang itu tak boleh digunakan untuk mohon "TASRIH HAJI".

Maka selepas itu, ana bersendirian menyatakan bahawa kalau macam ni, mungkin haji tahun ini ana tak buat kerana keadaan yang tidak kondusif. Ana bagi tahulah zaujah dan anak-anak akan keputusan itu. Mereka semua kecewa. Mereka kecewa sangat kerana tahun lepas mereka tak berkesempatan untuk haji kerana masalah visa dan mengharapkan tahun ini dapat le mengerjakan haji tetapi bila keadaan ini pula terjadi tergambar jelas di wajah mereka ini akan kekecewaan itu. Ana makin tertekan. Diri sendiri terasa ingin sangat buat haji tu tetapi perasaan takut menguasai diri. Malah bila melihat wajah-wajah kecewa anak dan isteri terasa sangat berat untuk tidak mengerjakan haji tahun ini. Dalam kesempatan berbicara ngan famili sering bagitahu mereka supaya banyakkan doa supaya Allah pilih kita menjadi tetamuNya walau dalam keadaan yang amat sukar. Ana juga sering bagitau diaorg bahawa jika semua selamat kita akan buat tetapi jika sebaliknya semua terpaksa terima hakikat ini. Ana merasakan haji kali inilah banyak menguji jiwa dan perasaan. Keadaan itu berterusan tanpa kesudahan. Sahabat-sahabat yang sebelum ini memaklumkan untuk buat sama-sama semakin meminggirkan diri kerana keputusan ana untuk tidak buat haji pada tahun ini. Maka ada yang ambil jalan lain. Ada yang mencari teman lain untuk buat, ada yang mohon ikut travel dan ada juga mengambil keputusan tunggu dan lihat.

Pada pagi 9 zulhijjah 1429, selepas solat subuh ana bagi tazkirah kepada anak-anak dan hujung tazkirah tu ana maklumkan bahawa tahun ini kita tak pergi menunaikan haji so harini 9 zulhijjah disunatkan kita berpuasa. Maka ana bagitau anak-anak bahawa abah dan umi puasa arini dan sape2 yang nak ikut puasa boleh le niat puasa. Tapi mereka tak berpuasa kerana tak makan sahur. Maka lepas subuh tu kami pun tidor le semula.

Tiba-tiba handphone ana berdering, cepat-cepat bangun, tgk nombor yg tertera itu adalah Ust Khairul Ariffin. "Assalamualaikum bang, buat ape tu? Tak datang wukuf ke? Ana dah kat arafah ni, ngan Hakim dan famili. Sepanjang perjalanan tadi takde check point ape-ape pun. Kami datang naik GMC tambang biasa je". Ana lihat jam di tangan, jarum jam menunjukkan pukul 8.30am. Mendengar kata-kata tersebut terus rasa bersemangat, terus ana kata kalu macam tu Insyaallah kami datang.

Ana bincang ngan zaujah dan bersetuju buat nasi goreng untuk bawa bekal ketika di Arafah nanti. Lalu Zaujah masuk dapur dan ana kejutkan anak-anak. "Bangun bangun, Jom kita gi Arafah. Kita buat haji tahun ni. Mereka bila dengar buat Haji terus bangun bersemangat, "Jadi ke Abah kita buat Haji ni?" tanya Ahmad Muslih. Ana bagitau Ust Khairul ngan Ust Hakim dah ada kat Arafah dia org kata jalan semua clear takde check point. Jadi Insyaallah kita akan ke Arafah untuk wukuf. Mereka semua bingkas bangun bersemangat sekali. Ketika itu ana termenung sekejap tgk telatah diorg. Tak sangka diorg begitu bersemangat untuk laksanakan haji. Terus ana katakan "Ya Allah mudahkanlah perjalanan kami dan aku bergembira memiliki zuriat sebegini". Mudah-mudahan semangat mereka untuk ke Jalan Allah ini, Allah kekalkan sehingga akhir hayat. Semangat anak-anak dan zaujah inilah menguatkan lagi semangat ana yang sedia ada. Ketika ini ana teringat sekali lagi kata-kata orang tabligh di Jeddah kepada Dr Taib. Org itu kata " kita jangan takut untuk pergi haji, kerana kita seperti mahu ketemu Raja segala Raja. Jika Raja itu sudah menjemput kita maka tidak ada lagi Raja yang lain boleh menghalangnya". Kata-kata itu yang sebelum ini menjadi bahan tawa tetapi hari itu kata-kata itu memberi seribu makna bagi ana. Inilah makna yang tersirat sebalik kata-kata itu. Ana bersyukur kerana tahun ini masih dijemput oleh Allah Rabbul Jalil untuk menjadi tetamuNYA.

Jam 10am semuanya siap niat dan berihram, Semua kami niat haji kecuali Muhamad Ikhwan, tetapi dia tetap memakai ihram seperti abang-abangnya juga. Kemudian kami turun menuju ke Al-Awali utk parking kereta.

Lokasi parking kereta memang telah dikenalpasti sejak awal lagi, kerana lokasi ini penting untuk perjalanan pulang dari Muzdalifah nanti. Plannya adalah letakkan kereta di lokasi itu kemudian naik kenderaan tambang yang sesuai ke Arafah, selepas wukuf di arafah kami akan ke muzdalifah juga dengan kereta tambang. Selesai separuh malam di muzdalifah kami akan berjalan kaki ke kereta kami yang parking awal pagi tadi dan kemudian terus menunaikan tawaf ifadah dan saei haji.

Peta ini menunjukkan detail perjalanan haji 1429 kami

Setelah sampai di parking yang dituju, ketika itu jam pukul 10.20, ana pun mengeluarkan barang dari belakang kereta dan letakkan di tepi jalan. Anak-anak masih di dalam kereta. Kurang 5 minit ana berdiri di tepi jalan untk tahan kereta tambang tiba-tiba berhenti sebuah coaster betul-betul depan ana. Pintu dibuka lalu turun seorang pemuda dari coaster itu. Oleh kerana terlalu hampir dengan ana coaster itu berhenti, ana terpaksa alihkan beg bg memberi laluan pemuda itu turun. Kelihatan macam coaster itu kosong tanpa penumpang. Selepas pemuda itu melilau-lilau macam mencari sesuatu di luar coaster kemudian dia naik kembali ke atas coaster, sebentar kemudian pemuda itu turun semula. Apabila dia lalu depan ana kali ke-2, ana gagahkan diri utk bertanya "Arafah?" lalu pemuda itu kata "Aiwah". Lalu ana tanya "mumkin ana roah sawa-sawa"? (Bahasa arab bangla yang ana tahu). Ust Hakim belum ajar kami dialog untuk tumpang coaster so yang salah adalah Ust Hakim le, bukannya ana. Pemuda itu kata "Anta roah Hajj?" Ana jawab "Aiwah". lalu pemuda itu kata "amsi, amsi, ta'al". Pastu ana bagitau dia "Ana fi bazurah mumkin sawa-sawa"sambil tunjukkan ke kereta, Dia tanya "Kam nafal?" ana jawab "khamsa" lalu dia kata "ta'al roah sawa-sawa". Ana pun panggil zaujah dan anak-anak untuk naik ke coaster itu. Bila naik memang sah coaster itu kosong. Hanya kami berlima, pemuda tadi dan driver saja dalam coaster tersebut. "Masyaallah" seperti Allah hantarkan coaster itu untuk ambil kami ke Arafah. Ana bagitau anak-anak supaya bersyukur banyak-banyak terhadap apa yang terjadi ini. Jangan ada riak dalam hati bimbang nanti kena kifarah pulak. Sepanjang dalam perjalanan ke Arafah, Sambil kami bertalbiyah, ana sempat mendengar perbualan antara driver coster dan pemuda itu, apa yang ana faham dalam percakapan itu, mereka datang mencari jemaah yang tertinggal tetapi tak jumpa. Driver itu gayanya adalah berbangsa turki dan pemuda itu adalah guider untuk tunjuk jalan. Kemudian mereka singgah kejap kedai kat Al-Awali tu untuk beli minuman dan driver turun untuk basuh muka. Lama jugak diorg turun. Sabar je le sebab tumpang orang. Hampir 15min, lalu muncul le kedua-duanya dan kami teruskan perjalanan ke Arafah.

Gambar ketika dalam Coaster

Kami tiba di Arafah lebih kurang jam 11.10am. Dari tempat coaster itu berhenti kami berjalan menuju ke masjid Al-Namirah. Sebelum turun ana pun bertanya pemuda tadi, "Muhammad kam?" Lalu dia menjawab "Wallahi, mafi fulus. Anta hajj doa ana". Itu le rasanya ape yg dia sebut. Atau dengan kata lain Demi Allah aku tak ambik duit, kamu buat haji maka doakanlah aku. Ketika itu perasaan ana takleh nak gambarkan. Berterima kasih banyak kami kepada pemuda itu atas bantuan yang diberikan ana bersyukur pada Allah atas Takdir ini. Selepas bersalam dengan driver dan pemuda itu kami turun dari coster dan baru beberapa langkah kami berjalan pemuda tadi panggil semula kami. Ana berpaling kearahnya dan ketika itu dalam diri ana tergambar mesti dia baru terfikir utk minta duit (Cepat sungguh hati ini bersangka buruk). Ana pun menuju ke arahnya semula. Dia pun tanya dan ape yang ana faham "Anta ada kereta ke? lalu ana jawab "Ada kat tempat parking tadi". kemudian dia kata "kamu nak hadiahkan kereta kat aku ke?" Ana terpinga-pinga. Main-main pulak arab ni. Bila dia tgk ana kebingungan barulah dia tunjuk kunci kereta ana. Rupanya kunci kereta ana jatuh dalam coaster dia tadi. Allahu Rabbi, terkejut besar ana. Kalu tidak satu cerita pulak nanti bila sampai ke kereta. Sekali lagi ana mengucap terima kasih pada pemuda itu. Perasaan ana ketika itu tak boleh nak diceritakan. Sepanjang permulaan jalan kami banyak kali kami memuji kebaikan pemuda tadi dan sudah barang pasti ana tidak lupakan untuk mendoakan kebaikan untuk pemuda tadi bila tiba waktu wukuf nanti. Lalu kami berjalan perlahan-lahan sambil memberi tahu anak2 kemana destinasi kita. Ana menunjukkan menara masjid Al-Numirah dan bagitahu mereka Insyaallah kita akan ke sana. Tempat tu agak jauh tapi kita mesti kuat berjalan. Inilah Haji di mana ibadah ini menguji kekuatan fizikal ummat yang mengerjakannya.

Dalam perjalanan ke Masjid itu anak-anak riang melihat telatah ragam manusia. Setelah hampir 50 minit berjalan anak-anak minta untuk berehat. Maka kami mencari tempat untuk berehat dan makan tengahari. Kami membuka bekal nasi goreng dan kami menjamah rezeki itu. Baru nak mula makan datang seorang jemaah haji, kalu dilihat kulitnya orang itu mungkin dia dari Afrika. Dia menghampiri kami dan menghulurkan pinggan nasinya dan suruh anak-anak ana ambik lauk dlm pinggannya. Dia kata banyak sangat lauk. MasyaAllah, asal nasi goreng kami tak berlauk tiba-tiba jadi berlauk.

Bersambung.....

Hj.Khuzz

No comments: