Tuesday, January 6, 2009

Sedikit Mengenai Hari As-Syura

Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.;"Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun." Riwayat Albazzar.

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pemgumuman ini sampai malam". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (Sahih Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (Sahih Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda; "Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." - Riwayat Al Baihaqi

Puasa hari Asyura ialah puasa sunat pada hari ke sepuluh bulan Muharram. Diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin Abu Sufyan r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: "Ini adalah hari Asyura dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa sedangkan aku berpuasa. Maka barangsiapa yang hendak berpuasa maka berpuasalah dia dan barang siapa tidak mahu berpuasa maka berbukalah dia (boleh tidak berpuasa)." (Hadits riwayat Bukhari)

Kelebihan berpuasa di hari Asyura sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata: Maksudnya: "Dan ditanya Rasulullah s.a.w. tentang berpuasa pada hari `Asyura'? Maka Baginda s.a.w. bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu." (Hadits riwayat Muslim)

Adalah disunatkan juga di samping berpuasa pada hari Asyura, berpuasa pada hari Tasu’a iaitu hari yang kesembilan bulan Muharram berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas r.a. berkata: Maksudnya: "Dahulu, ketika Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan Baginda memerintahkan (para sahabatnya) untuk melakukan puasa itu, mereka berkata: "Ya Rasulullah! Bukankah hari Asyura itu hari yang di agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila pada tahun yang akan datang, InsyaAllah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan" Berkata Abdullah bin Abbas: "Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah s.a.w. telah pun wafat." (Hadits riwayat Muslim)

Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a (sembilan Muharram) itu dari berbagai-bagai aspek:

1. Bagi menyalahi atau membezakan amalam orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura (Sepuluh Muharram) sahaja. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya dari orang Yahudi dengan berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”. (Hadits riwayat Ahmad)

2. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari Asyura kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

3. Bagi maksud menyambung puasa hari Asyura dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah s.a.w. berpuasa satu hari sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja padahari Asyura. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301)

Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari Asyura tanpa berpuasa pada hari Tasu’a, supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafie menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu’a), kesepuluh (Asyura) dan kesebelas bulan Muharram.
Hj Khuzz

1 comment:

Sabrina Syarfa said...

assalamualaikum.
nice post.minta izin copy ya